Saturday, January 30, 2016

Annuar Musa ganti Ahmad Maslan

Kuala Lumpur : Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Annuar Musa dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baru menggantikan Datuk Ahmad Maslan.


Pelantikan itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, PWTC, di sini, petang tadi.

Annuar ketika ditemui mengakui terkejut dengan pelantikan itu kerana tidak mendapat sebarang maklumat lebih awal.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan atas kepercayaan yang diberikan.
"Tugas yang diberikan ini bukanlah sesuatu yang mudah dan saya mengharapkan sokongan penuh daripada semua pihak terutama jentera parti," katanya.

Nasi Kandar Line Clear kini di KL

Kuala Lumpur: Berita baik buat penggemar nasi kandar dan ‘food hunter’ . Jika sebelum ini perlu memandu jauh untuk merasai keenakan Nasi Kandar Line Clear, kini tidak perlu bersusah lagi.



Nasi kandar yang dikenali sejak dari tahun 1947 itu kini dibuka di Kuala Lumpur (KL) di alamat 133, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru.

Semua hidangan yang ada di cawangan Pulau Pinang dibawa ke sini. Antaranya, telur sotong pedas, kari udang dan juga kari kepala ikan. Pembukaan cawangan pertama ini juga adalah langkah pertama dalam jenama nasi kandar ini untuk berkembang di luar Pulau Pinang.

Keempat-empat sepupu, Lokman Madinah, Salim Madinah, Zainul Alam Abd Hamid dan Mohd Faisal Akhbar Ali menyatakan mereka mempunyai rancangan demi kelangsungan jenama Line Clear pada masa hadapan.

“Ini cawangan pertama kami di luar Pulau Pinang dan kami tidak akan berhenti di sini kerana kami juga merancang untuk membuka satu lagi cawangan di negeri lain selepas di KL.

“Semua hidangan popular yang ada di sana (Pulau Pinang) akan ada di sini selain beberapa menu istimewa yang hanya disediakan di KL sahaja,” katanya

Sunday, January 24, 2016

Mengaku rakaman itu dirinya [video]

Kota Kinabalu: Lelaki berpakaian wanita dan tidak sopan ketika menyanyi di pusat beli-belah di bandar raya ini, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Dia yang berusia 24 tahun itu tampil menyerah diri ditemani bapanya, pada 4.30 petang.

Dia berbuat demikian bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan berpakaian tidak sopan sehingga mendedahkan buah dada di khalayak ramai, 16 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.
Suspek kemudian ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan pada hari sama, sebaik polis selesai merakam perbualan.
"Mengikut keterangan, suspek mengaku individu yang menyanyi bersama kumpulan busker itu adalah dirinya," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika bersalah.
Awal minggu ini, aksi lelaki itu yang berpakaian menjolok mata sehingga mendedahkan sebahagian buah dadanya ketika menyanyi mengejutkan orang ramai selepas video rakamannya disebarkan menerusi aplikasi Whatsapps dan Facebook.

Saturday, January 23, 2016

1.9 juta dijangka guna di LPT

Bentong: ANIH Berhad menawarkan diskaun 10 peratus sehari kepada pengguna LPT yang membuat bayaran secara elektronik (ETC), pada sambutan Tahun Baru Cina , 8 Februari ini.
Pengarah ANIH Berhad, Nik Fauzi Nik Hussien, berkata pihaknya mensasarkan 200,000 kenderaan akan menggunakan lebuh raya itu pada tarikh berkenaan.

“Pemberian diskaun tol itu akan bermula pada 12 tengah malam sehingga 11.59 malam hari yang sama. Bagaimanapun, tidak membabitkan bayaran tunai," katanya pada sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Sambutan Tahun Baru Cina LPT di Hentian Genting Sempah di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 1.9 juta kenderaan akan menggunakan LPT sepanjang 10 hari sambutan perayaan itu berbanding hanya 150,000 pada hari biasa.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dirangka bagi mengelak kesesakan trafik teruk terutama pada waktu puncak," katanya.

Tuesday, January 19, 2016

Enam varian enjin baru Proton

Shah Alam: Proton Holdings Berhad (Proton) memperkenalkan inisiatif kajian dan pembangunan (R&D) bagi enjin terbarunya yang bakal dilengkapi dengan dua teknologi iaitu Turbo Gasoline Direct Injection (TGDI) dan Gasoline Direct Injection (GDI).
Program pembangunan enjin terbaru itu dimulakan sejak Mac lalu di England dan dijalankan dengan kerjasama syarikat kejuruteraan global yang berpangkalan di sana iaitu Ricardo.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, inisiatif pembangunan enjin itu akan membabitkan enam varian enjin dan bakal mengambil 40 bulan untuk disiapkan sebelum varian pertama dilancarkan pada penghujung tahun depan.
"Penggunaan enam varian enjin ini dalam semua model kenderaan Proton akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2018 dan ia diyakini mampu melonjakkan jenama Proton pada masa akan datang," katanya selepas siaran langsung enjin TGDI 1.5 Liter dihidupkan buat pertama kali dari kilang Ricardo di England, hari ini.
Sebanyak enam varian enjin akan dibangunkan oleh Proton iaitu 1.0L 3-Cylinder VVT (Variable Valve Timing), 1.2L 3-Cylinder VVT, 1.3L 4-Cylinder GDI, 1.5L 4-Cylinder GDI, 1.3L 4-Cylinder TGDI dan 1.5L 4-Cylinder TGDI.

Monday, January 18, 2016

Pertembungan Liverpool - MU di Balai Berita

Kuala Lumpur: Pertembungan musuh tradisi antara Manchester United (MU) dan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sentiasa dinantikan peminat bola sepak negara.
Bukan sahaja di Anfield, malah kehangatan turut dirasai di Balai Berita Jalan Riong yang memasang layar besar bagi memberi peluang kepada orang ramai, ahli kelab penyokong MU dan Liverpool serta kakitangan menyaksikan perlawanan bermula jam 10.05 malam tadi.
Acara anjuran Harian Metro itu turut dihadiri Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Ahmad@Salim Bachok serta Pengarang Sukan Harian Metro Mohd Radzi Wahab.
Dalam perlawanan itu, Manchester United menang tipis 1-0 hasil jaringan Wayne Rooney pada minit ke 78.

Makmal dadah dalam kampung

Nilai: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan berjaya membongkar makmal memproses dadah di sebuah rumah di Kampung Baru Mantin di sini, hari ini.

Sumber polis berkata, dalam serbuan jam 6 petang itu, 10 orang ditahan ketika sedang memproses dadah dan polis merampas pelbagai peralatan memproses, pistol serta bom tangan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis juga sedang memastikan jumlah dadah yang dirampas itu,” katanya.