Saturday, January 9, 2016

Dua anggota tentera ditahan bantu siasatan

Kota Bharu: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan dua anggotanya ditahan untuk membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang terkena sedas tembakan selepas dipercayai merempuh sekatan jalan raya di Kampung Banggol Ubi Keling, Rantau Panjang, 7 malam semalam.
Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh siasatan kejadian itu.
"Kejadian yang berlaku semalam pihak polis masih jalankan siasatan, pihak tentera pun saya sudah arahkan untuk turut melakukan siasatan apa yang berlaku.
"Jadi saya tidak dapat komen apa-apa buat masa ini sehingga laporan penuh diperolehi.
"Dua anggota ini kita sudah serahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian seorang lelaki berusia 32 tahun yang menaiki van bersama rakannya dipercayai merempuh sekatan jalan raya yang dikawal tentera.
Anggota tentera dikatakan terpaksa melepaskan sedas tembakan yang terkena belakang kepala lelaki itu.
Lelaki itu meninggal dunia pada 7 pagi tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

No comments:

Post a Comment