Bukit Mertajam: Seorang ibu tunggal menafikan anak lelakinya lambat mendaftar di tingkatan satu di sebuah sekolah di Permatang Rawa di sini, kerana terpaksa berkongsi pakaian sekolah dengan abangnya seperti yang tersebar di Facebook hari ini.
Fadilah Hashim, 45, berkata walaupun mereka sekeluarga susah, dia masih mampu menyediakan pakaian sekolah untuk tiga anaknya termasuk dua anak lelaki yang belajar di sekolah yang sama.
"Saya terkejut apabila didatangi pelbagai pihak termasuk Zakat Pulau Pinang (ZPP) selepas gambar anak saya menjadi viral hari ini...memang betul kami susah tetapi setiap bulan saya terima bantuan dari ZPP dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Mereka datang bertanya sama ada saya memang tidak mampu menyediakan pakaian dan tiada duit untuk anak bersekolah dan saya menafikannya kerana sudah menyiapkan kelengkapan sekolah mereka, cuma anak bongsu yang tingkatan satu itu lambat mendaftar kerana baru tahu dia bersekolah di situ," katanya ketika ditemui di rumahnya di Permatang Rawa, hari ini.
Gambar mengenai pelajar tingkatan satu yang hanya baru mendaftar persekolahan hari ini kerana dikatakan terpaksa meminjam pakaian abangnya yang menuntut di tingkatan empat sekolah yang sama, menjadi viral di FB hari ini.
Remaja itu dikatakan dari keluarga susah selepas ibu bapanya bercerai dan ibunya tidak bekerja.
Fadilah yang mengambil upah mengopek ikan bilis dengan pendapatan RM8.50 sehari, sedih dengan cerita yang menjadi viral itu dan berharap mereka yang memuat naik gambar itu di laman sosial tampil memberi penjelasan.
“Setiap bulan saya terima bantuan RM400 dari ZPP dan RM300 dari JKM, ia membantu meringankan beban saya untuk perbelanjaan tiga anak berusia 13 hingga 16 tahun," katanya.
Beliau yang bercerai dengan suami sejak lima tahun lalu, tinggal di rumah yang dibina menerusi Projek Perumahan Rakyat di Mukim 7 Permatang Rawa.
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar ZPP Mohd Khairi Ghazali berkata pihaknya segera ke rumah keluarga berkenaan selepas mendapat maklumat menerusi laman sosial seperti diviralkan.
“Kami juga terkejut kerana memang sebelum ini keluarga ibu tunggal itu menerima bantuan ZPP sejak 2012," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment