KOTA BHARU - Perjanjian penajaan yang dikatakan bernilai jutaan ringgit di antara syarikat Vida Beauty dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal dimuktamadkan hari ini.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Dr. Hasmiza yang dikenali dengan Dr. Vida bagaimanapun berkata, masih ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengan lebih terperinci sebelum perjanjian itu dimetrai.
Katanya, secara amnya, hampir keseluruhan kontrak penajaan tersebut telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Perkara tersebut merangkumi jumlah tajaan serta ‘ramuan istimewa’ yang akan melonjakkan semula nama The Red Warriors dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2016 ini.
“In sya Allah perbincangan dengan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa akan berlangsung pada waktu petang di lokasi yang tidak boleh saya nyatakan,” katanya.
Hasmiza memberitahu, tajaan tersebut bukan hanya melibatkan pasukan senior Kelantan yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) tetapi turut membabitkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi menerusi jalinan kerjasama dengan Kafa.
Katanya, beliau mahu lebih ramai pemain bola sepak dilahirkan di Kelantan untuk memperkuatkan The Red Warriors pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, jutawan kosmetik itu turut berhasrat menjadikan Stadium Sultan Muhammad IV sebagai salah satu tarikan pelancongan baharu di negeri ini.
“Hasrat saya ialah Stadium Sultan Muhammad IV menjadi mercu tanda bukan sahaja kepada produk Qu Puteh dan Pamoga malah untuk Kelantan.
“Saya akan ke Manchester United dalam masa terdekat untuk melihat kaedah yang boleh diguna pakai untuk melonjakkan semula nama The Red Warriors,” katanya.
Sementara itu, sumber dalaman Kafa mendedahkan pertemuan antara Annuar dengan Hasmiza akan berlangsung pada pukul 3 petang hari ini.
Menurutnya, pertemuan itu akan memuktamadkan kerjasama tajaan antara Kafa dengan Vida Beauty.
“Apa yang boleh saya katakan perbincangan antara Kafa dengan Vida Beauty semakin positif dan sama-samalah kita doa semoga menjadi kenyataan,” katanya.
No comments:
Post a Comment