Sibu: Polis menasihatkan orang ramai tidak menerbangkan dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) berdekatan kawasan larangan kerana mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298).
Ketua Polis Sibu Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi berkata, sekiranya ada unsur pengintipan di kawasan larangan itu, seseorang itu boleh dipenjara seumur hidup.
Beliau mengulas kejadian dron terjatuh di kawasan Penjara Pusat Sibu baru-baru ini.
Mohd Kamal berkata, seeloknya orang ramai menerbangkan dron di kawasan awam seperti taman atau dataran bandar.
Menurutnya, pelabuhan, lapangan terbang dan kem tentera adalah antara kawasan larangan di negara ini.
Dalam kejadian Ahad lalu, sebuah dron putih lengkap dengan fungsi kamera dipercayai gagal dikawal dengan baik menggunakan alat kawalan jauh, terjatuh di atas bumbung satu blok Penjara Pusat Sibu sekitar jam 10.55 malam.
Apabila diperiksa, didapati lelaki berumur 40-an bersama tiga kanak-kanak berada di padang bola sepak bersebelahan penjara.
Lelaki itu kemudian ke pintu masuk penjara dan meminta warden penjara mendapatkan dron itu untuknya tetapi diberitahu mengambil dron itu keesokannya.
Pemeriksaan pihak penjara mendapati dron berkenaan dilengkapi kamera dan kad memori 2GB serta mempunyai rakaman video memaparkan kawasan penjara yang kurang jelas.
Mohd Kamal berkata dron itu diterbangkan anak lelaki berkenaan dan hasil siasatan mendapati tiada niat atau unsur jenayah dikaitkan dengan kejadian itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment